• BERITA
  • Artikel
  • USM NOMBOR SATU DALAM NEGARA, KE-49 DI DUNIA: NILAI UNIVERSITI APEX MEMBUAHKAN HASIL DI PERINGKAT GLOBAL

USM NOMBOR SATU DALAM NEGARA, KE-49 DI DUNIA: NILAI UNIVERSITI APEX MEMBUAHKAN HASIL DI PERINGKAT GLOBAL

20190405

PULAU PINANG, 4 April 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) adalah sebuah Universiti APEX yang konsisten dalam memperjuangkan nilai-nilai kelestarian dan akhirnya komitmen itu membuahkan hasil di peringkat global apabila berada di tangga ke-49 di seluruh dunia dalam Times Higher Education (THE) University Global Impact Rankings yang dikeluarkan buat julung kalinya baru-baru ini. 

Selain menjadi universiti terbaik negara dalam ranking berkenaan, lebih membanggakan, USM berada di kedudukan kedua terbaik dunia dalam SDG4 iaitu Pendidikan Berkualiti bagi University Global Impact Rankings 2019 by SDG (Matlamat Pembangunan Lestari) daripada 450 buah Universiti dari 77 negara yang dinilai pada tahun ini.

Ini adalah tahun pertama University Global Impact Rankings 2019 by SDG dinilai dan secara keseluruhan daripada 17 SDGs, sebanyak 11 SDGs dikenal pasti untuk dinilai. 

Antara 11 SDGs yang dinilai, USM berada di kedudukan #2 di dunia untuk SDG4 iaitu Pendidikan Berkualiti, di belakang Universiti Gothenburg di Sweden manakala tempat ketiga disandang oleh Chile’s Andrés Bello University (UNAB).

USM turut berada di kedudukan yang tinggi untuk SDG10 iaitu Mengurangkan Ketaksamaan dan SDG11 Bandar & Komuniti yang Lestari.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata bahawa pendidikan sentiasa menjadi teras USM dan kejayaan yang telah dicapai USM adalah bukti kepada konsep pembudayaan dan penerapan agenda Universiti APEX yang lestari. 

“Apabila USM berada di kedudukan tinggi dalam SDG4, ia seterusnya membuktikan bahawa USM telah memberikan yang terbaik dari segi penyediaan pendidikan kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya kepada golongan dan komuniti B40. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga Universiti keseluruhannya yang komited dan didorong oleh budaya kecemerlangan, kerana memainkan peranan penting dalam memberi yang terbaik untuk Universiti,” katanya.

Beliau turut menegaskan: “Ini juga adalah selari dengan idea untuk membawa USM ke persada dunia dan persada dunia ke USM. Secara keseluruhan, USM berada di tangga 50 terbaik untuk tiga SDG manakala 100 terbaik untuk 8 SDG yang lain. 

“Pencapaian tersebut adalah usaha universiti ke arah pembangunan sosio-ekonomi di samping menjadi sebuah universiti berteraskan penyelidikan,” ujarnya lagi.

Asma juga berkata, memandangkan USM bakal menyambut ulang tahun ke-50, Universiti kedua tertua dalam negara berkenaan berharap dapat berkongsi visi dan misi universiti untuk tempoh 50 tahun lagi.

Terjemahan: Nor Rafizah Md. Zain