• BERITA
  • Artikel
  • USM RAIH DUA ANUGERAH UTAMA SEMPENA ATS 2018

USM RAIH DUA ANUGERAH UTAMA SEMPENA ATS 2018

20190330f

NILAI, 30 Mac 2019 – Dua tokoh pemimpin pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menyerlahkan kecemerlangan apabila meraih dua anugerah utama sempena Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018 (ATS) yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

20190330a

Mereka yang dinobatkan terbaik dalam kalangan terbaik itu ialah Nur Najjah Abd Manas yang mengungguli kategori Anugerah Pemimpin Badan Beruniform dan Jerry Yacob yang menjuarai kategori Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan.

20190330b

Selain mereka, seorang lagi mahasiswa USM, Faizah Irdina Mohd Fauzi turut menerima hadiah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang dipilih dalam kalangan finalis ATS 2018.

Nur Najjah dan Jerry masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000, trofi, biasiswa tokoh siswa dan sijil dalam majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

20190330c

20190330d

Maszlee dalam ucapannya berkata dengan anugerah yang diterima mahasiswa diharap terus komited menabur bakti kepada masyarakat khususnya.

"Saya amat berharap agar semua pemenang dapat terus menggandakan usaha dan aktiviti kecemerlangan agar kita dapat bersama-sama menjadikan menara ilmu sebagai medan ilmiah terkemuka," katanya.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail hadir sama dalam majlis berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan USIM selaku tuan rumah ATS 2018 yang masuk edisi ke-6 itu.

ATS adalah anugerah yang mengiktiraf pencapaian mahasiswa dalam ketokohan berorganisasi dan penganjuran program-program berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

ATS yang mula diperkenalkan pada 2013 turut berperanan dalam melahirkan mahasiswa yang mempunyai ciri-ciri personaliti unggul (towering personality) yang dapat mewakili institusi pendidikan tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sebanyak 15 anugerah pemimpin dipertandingkan termasuk Majlis Perwakilan Pelajar, Kolej Kediaman, Program Keusahawanan, Program Kebudayaan dan pelbagai lagi, selain anugerah utama yang menjadi rebutan iaitu Tokoh Siswa Kebangsaan 2018.

Senarai pemenang Anugerah Tokoh Siswa (ATS) 2018 dari USM:

Jerry Yacob
Pusat Pengajian Bahasa, Literasi & Terjemahan
Kategori Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan

Nur Najjah Abd Manas
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
Kategori Anugerah Pemimpin Badan Beruniform

Faizah Irdina Mohd Fauzi
Pusat Pengajian Pengurusan
Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Individu)

Teks: Marziana Mohamed Alias