• BERITA
  • Artikel
  • PENDUDUK UTARA BERPELUANG MANFAATKAN KARNIVAL ‘JOM MASUK IPT' DI USM

PENDUDUK UTARA BERPELUANG MANFAATKAN KARNIVAL ‘JOM MASUK IPT' DI USM

Jom.Masuk.U

PULAU PINANG, 5 Mac 2019 – Penduduk di sekitar utara termasuk Perak, Kedah, Perlis dan di negeri ini disaran tidak melepaskan peluang untuk memperoleh manfaat sempena penganjuran Karnival Pendidikan Tinggi 'Jom Masuk IPT' yang akan diadakan pada 9 hingga 10 Mac ini di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM).

Karnival ‘Jom Masuk IPT’ Zon Utara yang dianjurkan khusus sebagai pusat sehenti bagi mendapatkan pelbagai maklumat untuk menyambung pengajian mereka di peringkat tertinggi ini mensasarkan pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru, komuniti setempat merebut peluang menyambung pengajian tinggi di pelbagai institusi pendidikan tinggi.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Ahmad Farhan Mohamad Sadullah, orang ramai diharap tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke program ini memandangkan ia adalah medan dan ruangan saluran hebahan utama bagi menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara.

Katanya, karnival ini turut menyediakan maklumat kepada calon-calon pelajar mengenai kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara bagi sesi kemasukan 2019/2020, maklumat penawaran program akademik yang ditawarkan oleh 20 Universiti Awam (UA), 44 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), dan Institusi lain.

“Pelajar juga boleh berjumpa terus dengan wakil-wakil dari universiti dan kolej semasa pameran untuk mendapatkan maklumat melanjutkan pengajian, pembiayaan pendidikan yang sedia ada, dasar dan prosedur permohonan kemasukan melalui aplikasi dalam talian, dan syarat-syarat kelayakan yang diperlukan.

“Pendek kata, ia merupakan pusat sehenti (one stop centre) maklumat kepada kumpulan sasaran bagi permohonan ke IPT,” ujarnya.

Program anjuran Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai dalam mendapatkan maklumat terperinci berkaitan program/rancangan pengajian yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA), Kolej Komuniti, Politeknik dan ILKA.

Pelbagai acara menarik disediakan seperti pameran/informasi pengajian dari universiti-universiti yang mengambil bahagian, khidmat bimbingan, cabutan bertuah, pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan, kempen derma darah, Pameran Sains dan Inovasi serta keusahawanan pelajar USM.

Antara agensi yang terlibat membuka pameran adalah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Malaysia Qualification Agency (MQA), Bank Simpanan Nasional (BSN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Penang CAT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

KPTN bakal memasuki edisi ke-15 tahun ini dan akan diadakan di enam zon (negeri) di seluruh Malaysia dari minggu awal hingga minggu akhir bulan Mac 2019.

Karnival ini sememangnya merupakan program tahunan yang dinanti-nantikan oleh pelajar lepasan SPM dan STPM yang berhajat untuk menyambung pengajian tinggi mereka melalui permohonan UPU, dan antara manfaat hadir ke karnival ini adalah seperti berikut:

  • Mendapatkan maklumat mengenai institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini termasuk pelbagai program/rancangan pengajian yang ditawarkan, seterusnya dapat membuat pilihan yang bijak, tepat dan berdasarkan fakta tentang universiti pilihan dan program yang diminati;
  • Mendapatkan maklumat jelas berhubung peluang melanjutkan pengajian di IPT termasuk program yang ditawarkan mengikut kesesuaian kelayakan akademik seseorang pelajar (Nota: Para pelajar adalah digalakkan untuk membawa keputusan peperiksaan yang terkini semasa di Karnival KPTN nanti.);
  • Memberi idea dalam melanjutkan pengajian tinggi dan halatuju pengajian seterusnya termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi (pasca siswazah) kelak;
  • Memberi maklumat berhubung dengan pembiayaan pendidikan (scholarship/education loan) yang boleh dimohon untuk membiayai tanggungan perbelanjaan semasa pengajian di IPT nanti;
  • Mendapat nasihat pemilihan program pengajian dari wakil-wakil IPT yang berpengetahuan dan berpengalaman luas dalam aspek kemasukan;
  • Membuat perbandingan di antara satu institusi dengan institusi pengajian tinggi yang lain.

Kepada mereka yang tinggal di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara, jangan lepaskan peluang ini. Jom hadir beramai-ramai ke karnival Jom Masuk IPT 2019 Zon Utara pada 9-10 Mac 2019, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.