• BERITA
  • Artikel
  • PERANGI GULA DAN KRIMER UNTUK MANFAAT BERSAMA

PERANGI GULA DAN KRIMER UNTUK MANFAAT BERSAMA

20190226a

PULAU PINANG, 26 Februari 2019 – Kempen ‘War on Sugar and Creamer’ atau ‘perangi gula dan krimer’ dalam minuman semasa perbincangan formal, yang sedang giat dijalankan di dalam kampus Universiti Sains Malaysia (USM), adalah untuk manfaat dan kebaikan bersama.

Menurut Pengarah Pusat Sejahtera, Dr. Normala Abdul Wahid, dasar penyediaan minuman tanpa atau kurang gula semasa perbincangan formal telah dikuatkuasakan di semua kampus bermula pada 1 Januari 2019.

“Tujuan dasar ini diwujudkan adalah bagi menggalakkan amalan minuman secara sihat semasa perbincangan formal seperti ketika mesyuarat, kursus, seminar, persidangan, makmal dan bengkel di dalam kampus USM,” tambahnya.

20190226b

Inisiatif ini adalah salah satu inisiatif yang mula diwar-warkan kepada warga kampus di Perutusan Tahunan Naib Canselor 2019 yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra, di sini hari ini.

“Saya berharap dasar ‘perangi gula dan krimer’ ini mendapat sokongan dari semua warga kampus USM serta ianya bakal memberikan kebaikan kepada semua serta dapat mengurangkan penyakit-penyakit lain terutamanya diabetes,” kata Normala yang turut menggalakkan lebih ramai warga kampus untuk berikrar dalam menyokong dasar ini dengan melekatkan stiker kempen.

“Selain itu, Pusat Sejahtera juga telah mengadakan kuiz di atas talian yang terbuka kepada staf dan pelajar di semua kampus USM sehingga 3 Mac ini dan pemenang utama bakal mendapat hadiah tajaan Richiamo Coffee.

Untuk maklumat lanjut, warga USM boleh melayari facebook Pusat Sejahtera USM.

Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa