• BERITA
  • Artikel
  • NAIB CANSELOR USM DILANTIK SEBAGAI PENGERUSI BAHARU MAJLIS MQA

NAIB CANSELOR USM DILANTIK SEBAGAI PENGERUSI BAHARU MAJLIS MQA

20190112

PULAU PINANG, 11 Januari 2019 – Kepimpinan dan ketokohan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail terserlah sekali lagi apabila dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) selama tiga tahun dari 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2021.

Beliau menggantikan Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abu Hassan Othman yang tamat perkhidmatannya pada Disember tahun lepas.

Pelantikan dibuat oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, yang turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Asma dan percaya Asma dengan rekod kerjayanya yang panjang dan cemerlang serta kepakaran dan pengalaman kepimpinannya yang luas, dapat meneraju dan memacu MQA dalam usaha mempertingkatkan jaminan kualiti pendidikan tinggi di negara ini.

Asma juga pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2012, menjadikan beliau wanita pertama yang dilantik sebanyak dua kali sebagai Naib Canselor di universiti awam. Beliau juga pernah menyandang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Jabatan Pendidikan Tinggi dan merupakan Presiden wanita pertama Akademi Sains Malaysia (2016-2019).

Sumbangan pentingnya kepada sistem pendidikan tinggi Malaysia termasuk penubuhan Anugerah Akademik Negara yang berprestij, mengklasifikasikan lima Universiti Penyelidikan (RU) di Malaysia dan juga dalam membantu pembangunan dan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2013-2025.

Asma ialah pemegang ijazah dalam Biologi dari University of Nevada, Reno (UNR), sarjana dalam Mikrobiologi dari Indiana University, Bloomington dan ijazah kedoktoran bidang Biologi Selular dan Molekul dari UNR. Beliau telah membuat penemuan saintifik yang membawa kepada pencapaian 13 paten dan pengkomersialan ujian diagnostik pesat untuk kepialu (tifoid) yang dipanggil TYPHIDOT anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

MQA yang ditubuhkan pada 1 November 2007, mempunyai visi untuk menjadi organisasi jaminan kualiti pendidikan tinggi yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, sebagai usaha menyahut hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini.

Teks: Tan Ewe Hoe/Infografik: Ebrahim Abdul Manan