• BERITA
  • Artikel
  • NC TEMUI PELAJAR PRA-U, SUNTIK SEMANGAT LANJUTKAN PENGAJIAN

NC TEMUI PELAJAR PRA-U, SUNTIK SEMANGAT LANJUTKAN PENGAJIAN

20190107.01

KULIM, 7 Januari 2019 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail melapangkan masa menemui kira-kira 200 pelajar Pra-Universiti USM di Kolej MARA Kulim (KMK) bagi memberi amanat dan suntikan semangat untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

NC turut berkongsi maklumat terkini berhubung senario pendidikan tinggi, cabaran serta peluang luas yang boleh diterokai oleh para pelajar dalam mencari hala tuju khususnya dalam menetapkan bidang kursus untuk diikuti di Universiti kelak.

20190107.02

Beliau menegaskan, dengan adanya teknologi dan pelbagai platform dalam mendapatkan maklumat, para pelajar seharusnya merebut peluang keemasan untuk melihat potensi cabang pendidikan sains yang amat luas dan tidak hanya tertumpu kepada kursus-kursus popular semata-mata.

20190107.03

Para pelajar juga, ujar NC, perlu mula mengasah pelbagai kemahiran tambahan khususnya dalam berkomunikasi, keusahawanan, pemikiran kreatif serta kritis dan sebagainya dalam usaha menghadapi perkembangan terkini dalam dunia pendidikan tinggi hari ini.

Dalam pada itu, para pelajar Pra-U USM di KMK adalah kumpulan pelajar yang dipilih khusus untuk mengikuti program-program sains di USM termasuk perubatan, pergigian, farmasi dan turut berpeluang mengikuti pengajian di kampus pesisir USM di KLE, Belgaum, India.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Kolej MARA Kulim, Tuan Haji Zolhamidy Che An; Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik USM, Noriah Mohamad; Timbalan-timbalan Pengarah Kolej MARA Kulim dan pegawai universiti.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa