• BERITA
  • Artikel
  • LARIAN ERAT PERPADUAN, PERKASA #USMFIT DAPAT SAMBUTAN HEBAT

LARIAN ERAT PERPADUAN, PERKASA #USMFIT DAPAT SAMBUTAN HEBAT

20181124

USM, PULAU PINANG, 24 November 2018 – Larian Amal Maulidur Rasul 1440H peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) yang buat julung kalinya dianjurkan mendapat sambutan yang menggalakkan apabila mendapat penyertaan lebih daripada 500 peserta dari pelbagai etnik.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah membuat sesuatu yang baik hari ini dalam membudayakan sukan yang merupakan salah satu ibadah dalam Islam.

“Selain itu, program ini merupakan satu inovasi yang baik serta saya berharap program sebegini diteruskan lagi dengan lebih kerap di USM,” katanya yang hadir pada sesi penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.

Sementara itu, Menurut Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, larian yang diadakan ini akan diteruskan penganjurannya pada tahun hadapan kerana di samping mengeratkan silaturrahim antara semua, ianya juga adalah salah satu medan untuk memperkasakan program USMFIT.

Turut hadir ialah Penasihat Sukan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Pemangku Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Munir Che Muhamed; dan Pemangku Pengarah Pusat Islam Mohammad Shukri Osman.

Larian terbahagi kepada dua kategori utama iaitu larian pertandingan sejauh 7KM dan larian Fun Run sejauh 5KM.

Menurut rata-rata peserta, larian sebegini perlu diteruskan penganjurannya kerana selain membudayakan semangat kesukanan, larian sebegini turut menjadi trend terkini di Malaysia.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan