• BERITA
  • Artikel
  • PENGERUSI LGU USM TERIMA IJAZAH KEHORMAT DOKTOR KEJURUTERAAN (ELEKTRONIK) UMP

PENGERUSI LGU USM TERIMA IJAZAH KEHORMAT DOKTOR KEJURUTERAAN (ELEKTRONIK) UMP

20181110a

UMP GAMBANG, PAHANG, 10 November 2018 – Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) yang baharu dilantik, Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan (Elektronik) sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) kali ke-13 di sini hari ini.

Ijazah kehormat dianugerahkan oleh Tuanku Canselor UMP, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di sesi pertama majlis konvokesyen yang turut menyaksikan sebanyak 652 graduan diijazahkan daripada sejumlah 2,773 graduan pada konvokesyen kali ini.

20181110b

Penganugerahan ijazah kehormat itu kepada Dr. Hari Narayanan adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas ketokohan, kewibawaan dan kepimpinan serta sumbangan dan peranan istimewa beliau terhadap industri elektronik di Malaysia dan juga perkhidmatan cemerlang beliau dalam memacu kecemerlangan penyelidikan dan program kejuruteraan elektronik yang ditawarkan di UMP.

Beliau yang juga mantan Pengarah Urusan Motorola Solutions Sdn. Bhd., banyak menyumbang kepada UMP melalui perkongsian pengalaman profesional dan idea sebagai Profesor Adjung di Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) dan peranannya menjayakan CEO@Fakulti Program UMP kelolaan Kementerian Pendidikan,

Walaupun sudah bersara dari dunia korporat, namun beliau terus menabur bakti kepada negara dan masih begitu bersemangat dan aktif memberi perkhidmatan di pelbagai institusi yang memerlukan kepakarannya.

20181110c

Apabila ditanya tentang rahsia di sebalik kejayaannya dalam dunia industri dan korporat, beliau berkata tiga tonggak pegangan hidupnya ialah pertamanya sentiasa berdiri di landasan lurus, bersifat jujur dan beristiqamah; keduanya usaha tangga kejayaan, bekerja keras dan cekal hati menghadapi cabaran; dan ketiga sentiasa meletak sasaran yang tinggi supaya terus bertenaga dan berprestasi tinggi untuk mencapainya.

“Sesungguhnya, saya amat bersyukur kerana dikurniakan ijazah ini dan pastinya ia mendorong saya untuk terus menabur bakti kepada negara dan juga memberi khidmat kepada masyarakat setakat mana yang saya mampu.

20181110d

20181110e

“Dalam konteks USM, saya bersama ahli LGU yang lain akan memberi lebih tumpuan dan tenaga untuk bantu melonjakkan USM ke arah pencapaian akademik, penyelidikan dan kemajuan organisasi yang lebih cemerlang dan unggul di persada dunia,” kata beliau yang dilantik sebagai Pengerusi LGU USM bagi tempoh tiga tahun (Oktober 2018 sehingga September 2021).

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin @ Isa