• BERITA
  • Artikel
  • 667 GRADUAN KEJURUTERAAN TERIMA IJAZAH DI KONVOKESYEN USM KE-56

667 GRADUAN KEJURUTERAAN TERIMA IJAZAH DI KONVOKESYEN USM KE-56

20181025

PULAU PINANG, 25 Oktober 2018 – Sidang Keempat Upacara Konvokesyen ke-56 Universiti Sains Malaysia (USM), menyaksikan seramai 667 graduan dalam bidang kejuruteraan telah menerima ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda masing-masing di sini hari ini.

“Jutaan tahniah saya ucapkan kepada semua graduan kita yang telah berjaya menamatkan pengajian selepas beberapa tahun berhempas pulas dalam pengajian bagi mengekalkan kecemerlangan.

“Saya juga mendoakan agar setiap kemahiran yang telah kita dedahkan kepada mereka sepanjang menjadi pelajar sebelum ini dapat membantu dalam mempersiapkan diri untuk memperolehi pekerjaan yang baik kelak,” kata Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa supaya graduan sentiasa bersedia untuk kembali dalam menyumbang kepakaran serta menabur bakti bukan sahaja kepada USM malah komuniti serta memainkan peranan yang baik sebagai alumni.

Pada upacara konvokesyen kali ini, turut bergradusi ialah 22 graduan perintis bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik iaitu Sarjana Sains Kejuruteraan Sistem Terbenam dengan kemasukan pertama adalah pada tahun 2017.

Daripada jumlah keseluruhan iaitu 667, 31 graduan adalah daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, 100 dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, 146 dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, 186 dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, 91 dari Pusat Pengajian Kejuteraan Kimia dan 113 dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

Seramai 6979 graduan telah bergraduasi di Upacara Konvokesyen yang telah diadakan dalam sepuluh sidang bermula Selasa lalu.

Teks: Siti Faizah Abdul Halim