• BERITA
  • Artikel
  • SUAMI ISTERI HARUNG CABARAN HIDUP DAN BELAJAR JARAK JAUH

SUAMI ISTERI HARUNG CABARAN HIDUP DAN BELAJAR JARAK JAUH

20181028a

PULAU PINANG, 28 Oktober 2018 - Sepasang suami isteri perlu mengharungi cabaran hidup dan belajar jarak jauh dan akhirnya ianya membuahkan hasil apabila kedua-dua dapat bergraduasi bersama di Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Zool Hilmi Mohd Nadzir yang berasal dari Kuala Lumpur dan isterinya Azlida Sareh Azmee dari Jitra, Kedah telah berkahwin pada tahun 2012 dan sejak itu tinggal berjauhan kerana tugas dan tanggungjawab dalam mencari rezeki.

Zool Hilmi yang bertugas di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Putrajaya manakala Azlida berkerja sebagai Penolong Akauntan di Kubang Pasu, Kedah dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan yang berusia 5 dan setahun.

Mengimbau kembali jerih payah dalam menyempurnakan pengajian secara Jarak Jauh dalam menimba ilmu pengetahuan, Zool Hilmi berkata isterinya pernah berputus asa serta mengambil keputusan untuk berhenti belajar kerana suami berada jauh serta perlu menguruskan dua anak yang masih kecil.

“Setelah dipujuk serta diberikan kata-kata semangat oleh suami, saya meneruskan juga pengajian sehingga tamat pada hari ini.

“Terkenangkan usaha beliau mengajak saya melanjutkan pengajian dan juga membayarkan segala kos pengajian kami, saya berasa kembali bersemangat dalam meneruskan pengajian,” ujar Azlida.

Mereka berdua telah berijazah dalam bidang Antropologi dan Sosiologi dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.

Sepasang suami isteri lagi, Mejar Mohd Fahrur Redzuwan Mat Desa dan Mejar Suriani Idawaty Janudin juga bergraduasi bersama dalam bidang Sains Politik.

Mereka yang saling bantu-membantu dalam mengulangkaji pelajaran adakalanya juga bergaduh manja dalam mengutarakan pendapat dalam pengajian.

Dikurniakan dua cahaya mata berusia 11 dan 10 tahun, mereka menetap di Kuantan, Pahang dan mula mendaftar pengajian pada tahun 2005.

Keempat-empat graduan tersebut adalah antara 6979 graduan yang bergraduasi di Upacara Konvokesyen USM ke-56 yang diadakan dalam sepuluh sidang bermula Selasa lalu.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain