• BERITA
  • Artikel
  • USM PANDANG SERIUS KEBAJIKAN PELAJAR

USM PANDANG SERIUS KEBAJIKAN PELAJAR

20180928

PULAU PINANG, 27 Sept. 2018 - Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein hari ini mengadakan perjumpaan dengan Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) dan semua Penggawa Desasiswa untuk mendengar pandangan tentang beberapa hal yang berkaitan kebajikan pelajar terutamanya kenaikan harga makanan di kafetaria pelajar.

"Pada masa ini terdapat 52 premis kafetaria di desasiswa dan 9 premis komersil," kata Adnan.

"Ini membolehkan pelajar dan warga kampus memilih premis dan menu makanan yang sesuai dengan kemampuan dan selera masing-masing," kata Adnan.

Tambahnya kadar sewaan yang dikenakan ke atas pengusaha terutamanya kafetaria adalah pertama kali dikaji dan dilihat semula dengan teliti baru-baru ini dari segi keluasan dan kedudukannya setelah tidak pernah dibuat demikian selama lebih daripada 20 tahun lalu.

Menurut Yang Dipertua MPPUSM Ahmad Shafiq Mohd Nassir, pihaknya telah memantau dan melihat sendiri dari dekat harga makanan di beberapa kafetaria.

Tinjauan MPPUSM menunjukkan sedikit kenaikan tetapi masih berpatutan kerana berada kurang dari harga siling yang ditetapkan, antaranya di Desasiswa Bakti, Cahaya Gemilang, Fajar Harapan dan Indah Kembara.

Menurut Naib Yang Dipertua 2 MPPUSM, Lester Ng Kim Ho, ini berkaitan rapat dengan persepsi sesetengah pelajar dan bukanlah keadaan sebenar yang berlaku.

"Ini termasuklah misalnya berkaitan kafetaria komersil yang dikatakan menawarkan harga mahal sedangkan pada masa yang sama di premis tersebut juga terdapat pilihan menu yang dijual pada harga yang murah dan berpatutan," kata beliau.

Pihak universiti diminta melihat keperluan menambah tempat duduk untuk kemudahan pelajar terutamanya semasa masa senggang kuliah.

Menurut penggawa-penggawa, pihak desasiswa terutamanya Majlis Penghuni Desasiswa yang terdiri dalam kalangan pelajar sentiasa memantau harga makanan di kafetaria secara berterusan dan memastikan tidak melebihi harga siling.

Manakala di desasiswa lain, penggawa-penggawanya melakukan tindakan pemantauan secara berterusan dan sentiasa memastikan harga yang dijual adalah terkawal.

Menurut Pengerusi Majlis Penggawa, Mohd Shafie Ariffin, yang penting ialah untuk memastikan harga makanan dan minuman yang dijual di semua kafetaria adalah terkawal dan berada pada harga siling yang ditetapkan oleh universiti.

"Majlis Penggawa dalam setiap mesyuaratnya melihat dengan serius setiap isu kebajikan pelajar termasuklah harga jualan di kafetaria," kata Shafie.

Sementara itu, Penggawa Desasiswa Tekun, Dr. Nazarudin Zainun berkata, hasil tinjauan dan pemantauan yang dibuat, tidak ada satu pun kafetaria yang menjual melebihi harga siling yang ditetapkan oleh universiti.

Di Desasiswa Tekun terdapat seorang pengusaha yang merupakan alumni USM yang menjual nasi campur, masakan panas, minuman, percetakan, kedai runcit dan beberapa pilihan menu lain.

"Sambutan pelajar adalah memuaskan dan kita belum menerima sebarang aduan berkaitan pelanggaran harga siling mahu pun pengusaha mengenakan harga yang tidak munasabah," jelas Nazarudin.