• BERITA
  • Artikel
  • MENCARI ROH SEBENAR MALAYSIA BAHARU

MENCARI ROH SEBENAR MALAYSIA BAHARU

20180913

PULAU PINANG, 13 Sept. 2018 – Anak-anak muda terutamanya mahasiswa perlu memberi makna dalam mencari dan menterjemah roh Malaysia baharu.

Menteri Luar Negeri Dato' Saifuddin Abdullah berkata "soul searching" ini bermaksud bagaimana mengisi maksud Malaysia baharu dalam proses mematangkan sistem demokrasi negara.

"Kita tidak boleh selamanya berada dalam keadaan merayakan perubahan, sebaliknya memerlukan kerja keras yang berterusan untuk memaknakan perubahan yang berlaku," kata beliau kepada kira-kira 200 orang pemimpin pelajar yang hadir perjumpaan tersebut.

Tegasnya, anak-anak muda terutamanya mahasiswa perlu memberi pandangan dan teguran malah cadangan bernas dalam menentukan dasar masa hadapan negara.

Menyentuh tentang tugas dan cabarannya di Kementerian Luar Negeri, Saifuddin berpendapat apa jua dasar luar negara pasti menyentuh kepentingan domestik, bermakna harus bermula dari dalam.

Beliau turut menjawab soalan tentang dasar luar Malaysia terhadap pelarian Rohingya dan nasib anak-anak mereka di negara ini, isu hubungan Malaysia dengan Republik China, isu fasilitator perdamaian dan tuntutan terhadap Pulau Spratly.

Yang turut hadir ialah Ahli MMK (EXCO) Pulau Pinang Dr. Afif Bahardin; Bendahari USM Dr. Rohayati Md. Isa dan Pengarah Pembangunan Sahsiah Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) Dr. Nazaruddin Zainun.

Teks: Mohamad Abdullah