• BERITA
  • Artikel
  • HIJRAH KE ARAH PERUBAHAN YANG LEBIH BAIK, KATA NC QK4A0250

HIJRAH KE ARAH PERUBAHAN YANG LEBIH BAIK, KATA NC QK4A0250

20180921a

PULAU PINANG, 21 Sept. 2018 – Yakin pada diri sendiri dan berani untuk melakukan penghijrahan pada diri agar kemajuan dapat dicapai ke arah perubahan yang lebih baik untuk pembangunan universiti.

Itulah kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail yang meletakkan harapan tinggi buat warga staf USM supaya bijak melakukan perubahan agar tidak hanya berada pada zon selesa pada tempoh yang lama.

"Saya ingin semua peringkat staf USM tidak takut untuk berhijrah bukan sahaja berhijrah ke arah kebaikan diri tetapi berhijrah meningkatkan produktiviti tugas dengan merasai pelbagai pengalaman dan perbezaan cabaran tempat bertugas," katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440 peringkat USM bertemakan "Menyantuni Umat, Membawa Rahmat" yang diadakan di Dewan Budaya USM.

Jelasnya, kita perlu mencontohi hijrah yang dilakukan oleh Baginda Rasullullah S.A.W yang akhirnya mampu merubah dan memberi pelbagai kejayaan di dalam Islam sepanjang tempoh penghijrahan.

20180921b

"Jika kita mampu mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam konteks hijrah ini, saya yakin USM mampu memacu lebih tinggi dan roh APEX sentiasa dihayati untuk membangunkan USM secara keseluruhannya," katanya lagi.

Yang turut hadir adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Pendaftar USM, Dr. Musa Ali; Pengerusi Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440 Peringkat USM merangkap Timbalan Pendaftar Pejabat Aset dan Operasi USM, Tn. Hj. Abd. Hadi Ahmad; Pemangku Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman; Penceramah Jemputan, Ustaz Dr. Ir Hj. Abdullah Khari Haron dan Qari'ah Jemputan, Ustazah Sharifah Kasif Fadzillah Syed Badiuzzaman.

Tambahnya lagi, dengan berhijrah kita akan mempelajari pelbagai ilmu yang berbeza di tempat yang berbeza seterusnya mampu membantu organisasi ke arah sasaran yang diharapkan.

"Jika kita berilmu, pastinya kita berupaya mengintegrasikan ilmu aqli dan naqli seterusnya kita mampu melaksanakan tugas dengan baik untuk diri dan organisasi," jelasnya lagi.

Pada majlis yang sama, Naib Canselor turut menyampaikan Penghargaan Khas Pusat Islam kepada 15 orang penerima yang banyak terlibat dan menyumbang bakti dalam pelbagai aktiviti dan program di bawah anjuran Pusat Islam USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar