• BERITA
  • Artikel
  • TIGA WARGA EMAS ANTARA 984 PELAJAR BAHARU RPJJ MENDAFTAR DI USM

TIGA WARGA EMAS ANTARA 984 PELAJAR BAHARU RPJJ MENDAFTAR DI USM

20180809 01
NIBONG TEBAL, 6 Ogos 2018 - Tiga warga emas adalah antara 984 pelajar baharu Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah mengangkat sumpah sebagai pelajar USM bagi Sidang Akademik 2018/2019 di Kampus Kejuruteraan USM di sini semalam.

20180809 02

Mereka ialah Makwan Bee Majid, 51, Johaari Ismail, 51 dan Bukhari Valen Abdullah, 55 yang masing-masing mempunyai kerjaya namun sanggup bersusah payah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.

Bagi Makwan Bee, ini adalah kali keempat beliau memohon masuk ke USM dan beliau sangat bersyukur kerana diterima masuk pada tahun ini.

“Saya tidak patah semangat memohon masuk ke USM dan saya bersyukur akhirnya diterima masuk pada usia 51,” tambah Makwan Bee yang akan mengikuti pengajian dalam bidang Pengurusan.

Beliau yang bekerja di Uda Holdings Berhad juga sangat aktif sebagai pelatih senamrobik di sekitar Pulau Pinang.

20180809 03

Lain pula dengan Johaari, beliau memohon masuk ke USM selepas dicabar oleh ketua jabatannya dan anaknya yang kini telah tamat pengajian di Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM).

“Anak saya mencabar saya untuk menyambung pengajian dan beliau berkata, “jika saya boleh, ayah juga boleh” dan dengan kata-kata itu saya memohon masuk ke USM tanpa berfikir lagi,” tambah Johaari yang bekerja sebagai Penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

20180809 04

Menurut Bukhari Valen pula, beliau terpanggil untuk menyambung pengajian apabila melihat kejayaan pelajar-pelajar tuisyen beliau yang telah berjaya dan mengambil itu sebagai satu cabaran.

“Saya telah membuka kelas-kelas tuisyen sejak lebih 30 tahun, namun kini saya terpanggil untuk menyambung pengajian,” tambah Bukhari Valen yang menyambung pengajian dalam bidang Sains Fizik.

20180809 05

20180809 06

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail menyampaikan amanat kepada seluruh pelajar baharu dan berharap mereka meneruskan pengajian serta menghadapi cabaran dengan hati yang cekal dan tabah.

20180809 07

Pada sidang kali ini, 59% atau 585 pelajar lelaki dan 41% atau 399 pelajar perempuan telah menerima tawaran untuk mengikuti program ijazah sarjana muda di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh.

20180809 08

Mereka ini di dalam empat rancangan pengajian utama iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (132 – 13%), Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (409 – 42%), Ijazah Sarjana Muda Sastera (60 – 6%) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (383 – 39%).

Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa