• BERITA
  • Artikel
  • USM DI TANGGA 207 – PENINGKATAN KONSISTEN DALAM QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS

USM DI TANGGA 207 – PENINGKATAN KONSISTEN DALAM QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS

20180609

PULAU PINANG, 8 Jun 2018 – Untuk meniti puncak bukanlah satu tugas mudah, namun jika mampu melakukannya, ia suatu yang amat membanggakan. Itu yang berlaku kepada Universiti Sains Malaysia (USM) apabila berjaya melonjak anak tangga dalam QS World University Rankings (QS-WUR) baru-baru ini.

Diketahui umum sebagai satu-satunya Universiti di negara ini yang berstatus APEX, USM telah menunjukkan pecutan menaiki 57 anak tangga kepada kedudukan 207 berbanding 264 (2018) dalam QS-WUR 2019 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Ini bermakna, USM adalah antara Top 21% daripada 1,011 institusi pendidikan tinggi yang diberi penarafan oleh QS daripada 1,233 institusi yang dinilai di serata dunia.

Sejak enam tahun yang lalu, USM telah menunjukkan peningkatan menaiki 148 anak tangga, daripada kedudukan 355 pada 2013/14 kepada 207 pada tahun 2018/19.

“Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail mengiktiraf bahawa warga USM yang dipacu oleh budaya kecemerlangan memainkan peranan signifikan ke arah pemerkasaan Universiti.

“Kita menaiki anak tangga secara konsisten sejak 2014 dengan memberi tumpuan kepada aspek fundamental, dan saya berpendapat USM menunjukkan prestasi lebih baik disebabkan Universiti ini menyedari kepentingan menyediakan pendidikan terbaik untuk komuniti global.

“Kita menyedari bahawa Reputasi Akademik (Academic Reputation), Reputasi Majikan (Employer Reputation), Pelajar Fakulti (Faculty Student) – (mengukur nisbah di antara bilangan pensyarah dengan pelajar), Fakulti Antarabangsa (International Faculty) dan Pelajar Antarabangsa (International Students) adalah antara lima teras yang menjadi kekuatan USM.

“Sebagai contoh, nisbah pelajar fakulti USM telah menunjukkan peningkatan secara signifikan sejak 3 tahun yang lalu walaupun dalam suasana ekonomi yang mencabar. Kami akan sentiasa melakukan yang terbaik dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan dalam masa yang sama memelihara kepentingan negara,” katanya sambil menzahirkan ucapan tahniah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan universiti-universiti lain yang telah membanggakan negara.

Menurutnya, Reputasi Akademik USM turut disenaraikan dalam kelompok Top 200 di dunia manakala Reputasi Majikan dan nisbah Pelajar Fakulti berada dalam kedudukan Top 250 dunia.

“Saya berpendapat USM lebih melihat ranking sebagai salah satu parameter untuk menilai daripada menjadi obses kepadanya. USM gembira dengan prestasi keseluruhannya dan kita tahu USM berada pada landasan tepat dan kita juga tahu USM telah merangka strategi terbaik untuk memastikan USM kekal menjadi pilihan utama dalam kalangan pemegang taruhnya.”

“Saya yakin dengan pelantikan Menteri Pendidikan baharu dan Kementerian Pendidikan akan terus memberikan sokongan yang diperlukan bagi membolehkan universiti di negara ini melonjak secara konsisten, yang mana kejayaan dan prestij universiti seringkali tidak diberikan perhatian sewajarnya,” katanya lagi.

Ranking ini dijalankan berpandukan hasil akhir daripada enam indikator berlainan dan sejauh mana tingginya pencapaian universiti dalam setiap indikator yang ditetapkan. Universiti diberikan penarafan berdasarkan kepada Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Sitasi Per Fakulti, Pelajar Fakulti, Fakulti Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa.

Teks: Marziana Mohamed Alias